JaJa'Z Latest Stories

Wednesday, November 9, 2011

Not So Wordless :Kami Juga Manusia Biasa


Selami kehidupan guru sebelum menghukum 




Saudara Pengarang, 

SUDAH kerap kali saya membaca surat di ruangan ini yang memperkecil-kecilkan profesion perguruan. Guru dituduh sebagai kakitangan kerajaan yang mengada-ada dan sering meminta-minta. Memang mudah orang berkata jika dia tidak mempunyai pengalaman sebagai seorang guru. Kakitangan kerajaan lain enak nikmat di dalam pejabat yang sejuk, mempunyai ruang kerja luas serta boleh menyiapkan tugasan tanpa gangguan. 



Cubalah selami sehari kerja seorang guru. Masa bekerja bermula seawal pukul 7.15 pagi. Kakitangan kerajaan lain boleh menangguh kerja atau bekerja mengikut masa yang mereka tetapkan sendiri. Guru tidak boleh bertangguh kerja. Bertangguh kerja bermakna mengundang bencana. 




Bertangguh kerja bermakna guru tidak masuk ke kelas. Pelajar yang akan menjadi mangsa. Ada yang mempertikaikan waktu kerja guru yang kononnya hanya dari pukul 7.30 hingga 1.30 tengah hari. Itu bukanlah masa bekerja guru. Itu waktu persekolahan pelajar. 




Cubalah anda buat kajian di sekolah-sekolah di Kuala Lumpur. Kebanyakan sekolah berakhir pada pukul 2.30 petang dan kadangkala sehingga 4.00 petang. Itu tidak mengambil kira mesyuarat guru dan pentadbiran yang sering diadakan hingga lewat petang. Bagaimana pula waktu hujung minggu dan cuti persekolahan yang diisi dengan kursus dan kegiatan kokurikulum yang padat. 




Guru perlu mengiring aktiviti perkhemahan pelajar, masuk ke hutan berhari-hari, meninggalkan keluarga. Pengalaman ini bagaimanapun tidak dilalui oleh kebanyakan kakitangan kerajaan yang lain. 

Mereka selesa menginap di bilik hotel berhawa dingin, sedangkan guru kadangkala terpaksa tidur di dalam bilik asrama atau khemah bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin. 




Masyarakat sering mempertikaikan tempoh cuti sekolah yang panjang dan kerap yang kononnya turut dinikmati oleh golongan pengajar. Sedarkah anda, pada cuti pertengahan semester pertama, guru-guru bertungkus lumus menanda kertas peperiksaan pelajar di rumah. Tugas memeriksa mesti disiapkan dalam tempoh seminggu cuti persekolahan tersebut. Cuti pertengahan tahun pada bulan Mei selama dua minggu, guru sibuk menanda kertas peperiksaan pertengahan tahun, juga di rumah. Cuti pertengahan semester kedua, guru sibuk menanda kertas peperiksaan percubaan pelajar di rumah. 




Sekiranya anda prihatin, anda akan dapati guru kerap melakukan kerja di rumah, masyarakat tidak nampak hal ini kerana anak-anak mereka tidak ke sekolah. Pernahkah mereka terfikir mengapa anak-anak mereka sering memperoleh markah peperiksaan selepas cuti sekolah? Beralih kepada isu yang lebih sensasi, cuti akhir tahun. Sedarkah mereka peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijalankan pada masa cuti akhir tahun? Sedarkah mereka, skrip-skrip jawapan itu juga perlu ditanda semasa waktu cuti akhir tahun? Menurut pekeliling Kementerian Pelajaran, guru-guru boleh dipanggil balik bekerja untuk 2/3 tempoh cuti sekolah akhir tahun. Bayangkanlah berapa baki cuti yang tinggal untuk menanda kertas peperiksaan dan juga untuk menyediakan bahan-bahan untuk semester persekolahan yang baru. 




Kakitangan kerajaan yang lain diperuntukkan cuti tahunan selama 30 hari yang boleh diambil bila-bila masa sepanjang tahun. Guru pula diperuntukkan cuti rehat selama tujuh hari setahun. Cuti ini pula tidak boleh diambil sesuka hati. Masyarakat sedia maklum masalah kekurangan guru yang dihadapi di sesetengah negeri. Apabila seorang guru mengambil cuti pada hari persekolahan, ia akan memberi kesan yang serius kepada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bebanan guru lain akan bertambah, oleh itu agak sukar juga bagi guru untuk menggunakan hari cuti yang diperuntukkan. 




Guru juga bekerja dalam suasana yang kurang selesa berbanding kakitangan awam yang lain, bilik pejabat sejuk sehingga perlu memakai jaket di pejabat. Guru pergi ke kelas pada waktu tengah hari dan mengajar di dalam kelas yang hanya mempunyai kipas sahaja dan perlu berdiri sepanjang masa. Guru tidak mempertikaikan itu semua. Memang suasana kerja kami begini dan kami memang sentiasa ikhlas dan memberikan tumpuan sepenuh masa untuk mendidik dan mengajar anak bangsa kami untuk menjadi insan yang berguna. 


Apa yang kami inginkan hanya waktu cuti yang sebenar untuk bersama keluarga. - GURU KECEWA, Kuala Lumpur. 




Diambil dari Utusan Online


Teringat kata2 dr seorang sahabat jaja
Tugas yang paling berat ialah apabila kita nak memanusiakan manusia 

6 Beu-T Is Talking:

Rohani Hashim said...

hurmmm, terkedu baca...ye betul setiap tugas pasti ada tekanan dan bebanan...semoga kita sama sama tabah...ameen.

JaJa'Z said...

hany...sekadar berkongsi agar orang ramai tak selalu menganggap kerja cikgu ni kerja yg tidak memenat kan..

Salina@IbuAqil said...

Sebab tu kerja yg paling mulia adalah seorang pendidik.. Kerana sgala ilmu yg dicurahkan apabila diguna ke jln yg baik oleh anak murid pahala seorang pendidik itu akan dpt hatta dia dah meninggal dunia skalipun.. Mulianya menjadi seorang pendidik.. ;) Semoga Cik Jaja akan terus maju menjadi seorang pendidik anak bangsa.. Amin!! ;)

Messy Mummy said...

Hi Jaja,
MM dah banyak kali juga baca n dengar2 benda2 mcm nieh... Tolak tepi guru2 yg kurang bertanggungjawab tapi.... banyak lagi guru yang ikhlas melakukan tugas..

Untuk MM, jgn sesekali memperkecilkan tugas seseorang.. Tak kira kamu kerja guru ker... tukang sapu ker... suri rumah ker.. accountant ker... Semua ada susah dan senangnya sendiri. Tak duduk dalam kasut org tak tahu apa rasanya.. Jadi kalau ada yg memperkecilkan tugas guru itu.. Biarlah dia ddk dalam dunia sendiri.

Mungkin dia lupa.. anaknya..cucunya..cicitnya perlukan seorang guru bila hidup kat dunia nieh.....

kepada setiap guru/pendidik.. didik lah dengan ikhlas sbb itu tugas yg mulia... jgn pedulikan org :)

*sorry yer..skit emo sbb kawan2 mm ramai guru dan pensyarah*

JaJa'Z said...

ibu aqil...tu lah..harap2 ilmu yang jaja bekalkan pada anak2 murid serba sedikit dapat menmbantu diaorang semua menjadi manusia yang berguna...

JaJa'Z said...

MM...thanks sebab sudi memahami..betul macam yg MM cakap..kita tak dok dlm dunia seseorang tu..memamng kita tak tau..bebannya memang berat..sebab tu kalau sesapa yang memperlekehkan kerja cikgu kata kerja separuh hari..kerja senang..cuti banyak..mmg rasa nak melenting jek...

kami2 yang mengadap perangai bebudak yg pelbagai ni..memang mencabar sangat2 jiwa...

Related Posts with Thumbnails